oleh Kasthuri Patto

Perbahasan tentang hukuman mati adalah antara topik paling kontroversi sejak sepanjang sejarah lampau. Hukuman mati adalah proses perundangan yang meletakkan kematian seseorang sebagai hukuman atas jenayah dalam sesuatu sistem atau negara. Ia telah menjadi dalam sejarah banyak masyarakat, sebagai salah satu bentuk hukuman atas jenayah atau pertentangan agama dan politik.

Dalam sejarah, menjalankan hukuman mati lazimnya diiringi dengan seksaan, dan dilaksanakan dalam ruang awam. Di sebalik itu, hukuman yang amat ditakuti ini masih wujud dalam sesetengah negara sehingga hari ini.

Hukuman mati di Malaysia dikenakan ke atas pembunuhan, penyeludupan dadah, penderhakaan dan melancarkan perang ke atas Yang Di-pertuan Agong dan baru-baru ini, diperluaskan kepada keganasan. Rakyat Malaysia dan orang asing kesemuanya tidak dikecualikan daripada undang-undang ini yang telah melalui zaman gemilangnya.

Pada Oktober 2012, Menteri Undang-Undang de facto, Nazri Aziz telah mengumumkan bahawa Peguam Negara Malaysia akan mengkaji mengenakan hukuman penjara sebagai ganti kepada hukuman mati mandatori untuk sesetengah kesalahan dadah. Pemansuhan hukuman mati sangat diperlukan untuk mengelakan kemungkinan menafikan nyawa insan yang tidak bersalah. “Tiada sistem keadilan jenayah yang sempurna. Jika anda mengambil nyawa seseorang, dan anda mendapati orang lain yang melakukan jenayah tersebut, apa yang anda boleh buat?”

Tiada kata-kata yang lebih benar apabila beliau membuat kenyataan tersebut namun pemerintah Malaysia masih mengelak untuk meminda undang-undang atau sekurang-kurangnya melengahkan semua perlaksanaan melalui moratorium sehinggalah proses semakan tamat.

Dalam jawapan bertulis kepada ahli Parlimen Bukit Bendera ketika itu, Liew Chin Tong, sejumlah 26 pesalah telah dihukum mati dari tahun 2001 hingga Julai 2013, purata dua insan setiap tahun. Jumlah 26 ini terdiri daripada 22 rakyat Malaysia, tiga orang Nigeria dan seorang rakyat Singapura.

Menjelang 10 Jun 2013, sejumlah 964 orang telah didapati bersalah dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi. Daripada jumlah ini, 912 adalah pesalah lelaki dam bakinya adalah wanita. 647 pesalah yang dihukum mati ini adalah rakyat Malaysia (67%) dan selebihnya adalah warga asing.

Pada 2012, 60 hukuman mati telah dijatuhkan oleh mahkamah. Di sebalik ini, dua insan telah dimatikan, seorang atas pembunuhan dan seorang lagi atas penyeludupan dadah, dan kedua-dua kematian dijalankan dalam diam-diam. Amnesty International juga melaporkan perlaksanaannya tidak didedahkan dan tiada laporan bedah siasat telah dikeluarkan.

Jumlah ini adalah peningkatan sejak 28 Februari 2012 apabila 860 pesalah menanti rayuan dan pada 22 Februari 2011, terdapat 696 yang menunggu hukuman mati.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, antara 1960 dan Februari 2011, 441 orang telah digantung. Daripada 441 yang digantung, 228 terlibat dengan penyeludupan dadah dan 78 telah didapati bersalah atas pembunuhan. 130 lagi kerana memiliki senjata api secara haram, manakala empat yang bakinya bersalah kerana melancarkan perang ke atas YDPA.

Antara 1980 dan 2001, Malaysia telah menjalankan hukum mati ke atas 359 orang. Puratanya ialah 11.5 insan setiap tahun, hampir satu kematian setiap bulan saban tahun. Satu hakikat yang membimbangkan buat Malaysia, sebuah negara yang sepatutnya dalam laluan transformasi dengan pemimpin secara goyang kakinya mendabik dada sebagai ‘demokrasi terbaik di dunia’.

Buat masa ini, 58 negara di seluruh dunia masih mengamalkan hukuman mati secara aktif, manakala 98 negara telah memansuhkannya untuk semua jenayah, sementara tujuh negara telah memansuhkannya untuk jenayah biasa sahaja (mengekalkan keadaan luar biasa seperti jenayah perang) dan 35 negara lagi secara de facto memansuhkan perlaksanaannya (yakni tidak melaksanakannya sekurang-kurang sejak sepuluh tahun dan/atau di bawah moratorium). Walau bagaimana pun, 90 peratus perlaksanaannya masih dilakukan di Asia.

Penggunaan hukum mati telah menjadi semakin terhad dalam negara yang mengekalkan hukuman mati termasuklah Taiwan dan Singapura. Malah Indonesia juga tidak menjalankan sebarang hukuman mati antara November 2008 dan Mac 2013.

Negara yang mempunyai peruntukan statutori untuk hukuman mati ke atas kesalahan dadah pada 2012 adalah Afghanistan, Bangladesh, Brunei, Republik China, Cuba, Mesir, Indonesia, Iran, Iraq, Kuwait, Laos, Malaysia, Oman, Pakistan, Arab Saudi, Singapura, Somalia, Sri Lanka, Thailand, Vietnam, Emiriah Arab Bersatu, Amerika Syarikat, Yaman dan Zimbabwe.

Lazim diperbahaskan bahawa hukuman mati membawa kepada ketidakadilan melalui perlaksanaan yang salah ke atas nyawa yang tidak bersalah. Ramai orang telah mendakwa sebagai mangsa hukuman mati yang tidak bersalah. Kadangkala hukuman mati diamalkan secara berlebihan di negara yang miskin dan kuku besi, yang selalu menjadikan hukuman mati sebagai alat tekanan politik.

Pokok persoalannya ialah penggunaan prosedur yang salah yang membawa kepada perlaksanaan yang tidak adil. Sebagai tamsilannya, Amnesty International telah mendakwa bahawa di Singapura, “Akta Penyalahgunaan Dadah mengandungi siri prasangka yang mengalihkan sebarang beban bukti daripada pendakwaan kepada yang tertuduh. Hal ini bercanggah dengan hak terjamin setiap insan yang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah”. Di Malaysia, Akta Dadah Berbahaya menganggap anda tahu apa yang dibawa dan jika anda bawa dadah, anda sememangnya menyeludup. Dalam keadaan ini, dalam hampir kesemua bidang kuasa, pendakwaan mempunyai kes prima facie.

Kendatipun demikian, kajian menunjukkan hukuman mati tidak membantu mencegah jenayah. Dan di Malaysia kes berkaitan dadah tetap meningkat di sebalik hukuman mati bersarang di fikiran pelaku. Di Kanada, 27 tahun selepas pemansuhan hukuman mati, pembunuhan di seluruh negara menyaksikan penurunan sebanyak 44 peratus.

Walau bagaimanapun, terdapat pandangan berbeza mengenai hukuman mati. Profesor undang-undang New York, Robert Blecker, berkata hukuman mestilah setanding dengan jenayah yang dilakukan. Katanya ia adalah tidak adil untuk mereka yang melakukan jenayah-jenayah teruk ini untuk terus hidup walaupun dipenjarakan. Tetapi siapakah kita untuk memutuskan hukuman apa yang setanding dengan jenayah apa? Apakah kayu ukur yang kita gunakan? Apakah hak kita ke atas nyawa lain?

Penyokong pemansuhan berhujah bahawa hukuman balas hanyalah dendam dan tidak boleh dibiarkan. Ia juga berhujah bahawa menghukum kematian dengan kematian lain adalah secara perbandingannya hukuman yang unik untuk aksi ganas, memandangkan jenayah keganasan umum tidak pula menghukum pelaku dengan tindakan yang sama.

TIDAK ADA justifikasi moral untuk hukuman mati.

Kelihatannya, hukuman mati juga lazim digunakan pelaku daripada kumpulan minoriti kaum dan etnik dan latar belakang sosioekonomi yang kurang bernasih baik, berbanding mereka yang datang latar belakang istimewa; dan latar belakang mangsa juga mempengaruhi keputusan. Penyelidik telah menunjukan bahawa orang putih Amerika cenderung untuk menyokong hukuman mati apabila diberitahu ia akan dijalankan ke atas kaum kulit hitam di Amerika.

Malaysia juga telah menyaksikan penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu dan ini telah membawa kepada pandangan pilih kasih oleh pendakwa raya dan polis. Prejudis kehakiman, “polis melalui sikap pihak-berkuasa-lebih-tahu”, kekurangan integriti dan undang-undang berdasarkan andaian yang sangat berbahaya menjadi gabungan maut untuk hukuman mati disalahgunakan.

Dalam kalangan 1,535 rakyat Malaysia, dalam kajian yang secara liciknya dinamakan ‘Projek Hukuman Mati’, lebih 60 peratus tidak bersetuju dengan hukuman mati dan berpandangan bahawa hakim tidak patut mengunakan budi bicaranya sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau tidak.

Tepat seperti yang dinyatakan oleh MADPET (Rakyat Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan),

Atas nama kemanusiaan, keadilan dan maruah insan dan mempertahankan prinsip semua nyawa adalah suci, kami menyeru Pemerintah Malaysia untuk menghapuskan hukuman mati dan mengisytiharkan moratorium segera ke atas semua perlaksanaan hukuman mati sementara menunggu pemansuhan’.

Buat masa ini, masyarakat awam selain badan-badan bukan kerajaan (NGOs), Amnesty International dan Human Rights Watch adalah mereka yang menyuarakan bantahan terhadapan hukuman mati.

Sudah sampai waktunya pemerintah Malaysia mula secara serius mengkaji semua hukuman mati sebagai undang-undang kuno yang tidak lagi sesuai dengan taraf antarabangsa.

Hukuman mati adalah hukuman yang tidak berperikemanusiaan, tidak dapat ditarik balik dan mengekalkan lingkaran ganas dan mesti dimansuhkan untuk kebaikan umat manusia.

Inilah masa kita membuktikan janji kita dengan negara lain yang lebih progresif dan bergerak secara agresif ke arah pemansuhan hukuman mati.