Masyarakat abad ke-21 dipenuhi dengan sejumlah isu-isu dalam pelbagai aspek, setiap satunya lebih unik berbanding cabaran yang dihadapi oleh yang sebelumnya. Sebagai rakyat Malaysia, salah satu kebimbangan kita ditampilkan oleh populariti media dan betapa mudahnya untuk kita memperoleh maklumat dengan satu klik butang, tetapi melalui pendekatan  teknologi secara terlalu mudah tersebut, isu tafsiran yang bertanggungjawab dan bagaimana kesilapan maklumat boleh dengan mudahnya mempengaruhi minda yang paling terancam menjadi isu kebimbangan besar negara.

Masyarakat moden Malaysia kita tidak dapat menafikan peranan besar media dalam mengacu minda, perlakuan dan pendapat masyarakat perihal isu antarabangsa, demostik bahkan komuniti. Kita telah lalui bagaimana media digunakan sebagai alat menumbangkan pemerintah (Arab Spring), mewujudkan kesedaran mengenai pelbagai isu sosial (Occupy Wall Street, pergerakan Bersih) tetapi kita juga menyaksikan peranan sinis yang ia mainkan dan bagaimana ia digunakan sebagai ‘instrumen’ untuk memenuhi dasar gila extremis, sociopath dan kejahatan yang ada dalam masyarakat kita.

Dalam konteks yang terkini, kumpulan pengganas seperti ISIS telah dengan jayanya merekrut individu dari pelusuk dunia untuk menyertai ‘jihad’ versi mereka yang tidak ada kaitan langsung dengan agama tetapi segalanya berkaitan kehinaan durjana. Kita telah lihat bagaimana video dan gambar boleh disunting atau ‘di-photoshop’ untuk mencipta syak wasangka dan menanamkan tuduhan dalam masyarakat dan bakal pengundi. Imej mudah yang tidak bersalah boleh digubah menjadi gambaran kejahatan; meskipun, ketika sesetengah dari kita sedar bagaimana pemalsuan maklumat berfungsi, masih terdapat segelintir yang tidak tahu.

 

Dengan kemampuan yang hebat, datang tanggungjawab yang besar

Pertubuhan National Communications Association (NCA) mentakrifkan kecelikan media sebagai ‘keupayan untuk mencapai, menikmati, mentafsir, menganalisa, menerbit dan menilai mesej dalam semua kepelbagaian dan gabungan format cetakan, visual, dan digital’[1].  Kecelikan media boleh memperkasa golongan belia dan menggalakkan mereka untuk menjadi penyumbang positif kepada masyarakat memandangkan tidak terukur jumlah maklumat yang disalurkan kepada mereka setiap hari sama ada secara lisan, visual atau bertulis. Maklumat sebegitu secara mudahnya boleh dimanipulasikan, digubah dan disalahguna, justeru, sebagai sebuah masyarakat, ia adalah tanggungjawab kita untuk memastikan belia kita mampu menstrukturkan deria ‘realiti’ yang menyeluruh berdasarkan apa sahaja maklumat yang diberikan kepada mereka.

Ketika masyarakat moden menghadapi dunia yang berbilang tugas, yang telah globalisasi dan sangat interaktif, kecelikan media tidak patut dijadikan hanya untuk mendapat jawapan yang betul semata-mata, bahkan juga dijadikan sebagai medium untuk bertanya soalan-soalan yang betul. Pendidikan melalui jenis ini mengambil pendekatan mempersoalkan tujuan dan motif, menentukan maklumat sedar dan separa sedar selain strategi yang telah digunakan untuk menyalurkan mesej-mesejnya. Ia adalah keupayaan untuk mengasingkan dan menganalisa segala jenis maklumat dengan memanfaatkan kemahiran pemikiran kritikal – keupayaan kita untuk bertanya soalan yang munasabah dan sedar mesej tersirat atau tersembunyi. Lebih penting lagi, ia adalah keupayaan untuk mengenalpasti secara nalurinya motif di sebalik maklumat demikian – nilai-nilai, sasaran khalayak, kesan politik dan sosial serta ekonomi sulit yang memotivasi mesej-mesej tersebut.

Pengaruh mendalam media ke atas belia kita tidak boleh dipandang enteng. Ahli teori media, Douglas Rushkoff selayaknya menghuraikan generasi belia kita hari ini sebagai “screen-agers” atau ‘penua-skrin’, di mana dunia mereka ‘bukan sempadan fizikal tetapi terdiri daripada jaringan dan antarajaringan rangkaian global segera’[2]. Istilah ini dicipta sebagai respon kepada bagaimana skop maklumat media bukan lagi spesifik tetapi mencakupi segalanya daripada televisyen kepada telefon bimbit. Belia kita sudah sepenuhnya terdedah kepada segala jenis maklumat yang mempunyai kuasa untuk mempengaruhi, memanipulasi dan memujuk mereka.

Pada tahun 2012, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan telah menerbitkan sebuah buku “Memahami Kekhuatiran dan Kehendak Belia Malaysia” dan karangan “Memahami Corak Kepenggunaan Belia”[3] yang menerangkan saluran-saluran media pilihan yang belia pilih untuk memperoleh maklumat – majoriti 67.9% memilik sumber berita berasaskan Internet seperti laman web berita Internet, blog dan laman media sosial untuk mendapatkan maklumat; manakala 15.1% dan 2.7% masing-masing memilih akhbar dan majalah; 11.8% lebih sukakan televisyen manakala 2.5% memilih radio. Kajian ini seterusnya melaporkan sejumlah 86.3% belia memiliki telefon pintar, 80.6% mempunyai laptop dan tablet, dan 40.6% memilik komputer peribadi.

Belia kita mempunyai capaian maklumat yang boleh dimanipulasikan dan sebaliknya, akhirnya, kemampuan baharu ini mula mempengaruhi hidup harian, pilihan, fikiran bahkan bagaimana mereka bertutur. Saluran komunikasi yang sentiasa berevolusi ini sudahpun memberi kesan keapda masyarakat Malaysia. Menurut kajian oleh Majlis Pembangunan Sosial pada tahun 2013, statistik menunjukkan Malaysia mempunyai 13.3 juta pengguna Facebook – 45.5 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia; 16.3 peratus terdiri daripada remaja berusia 13 dan 17 tahun sementara 34.5 peratus berusia 18 to 24 tahun[4] menjadikan mereka peratusan tertinggi pengguna Facebook di negara ini.

 

Penolakan melalui pemahaman vs. Penafian melalui sekatan

Dalam keadaan Malaysia sebagai penembusan jaringan sosial kedua tertinggi di Asia Tenggara dan kira-kira 90% rakyat Malaysia mempunyai akses ke internet, kita mesti mempunyai kesungguhan politik untuk membina masyarakat yang cukup celik untuk memahami imej visual, mampu mengenalpasti stereotaip dan klise sosial; di samping membezakan kebenaran daripada yang separa benar, penjelasan analitik daripada karut-karutan dan berita penting daripada maklumat sensasi.

Cubaan tersebut akan gagal jika pembuat dasar tidak mengiktiraf peri pentingnya mempromosi kecelikan media terutamanya kepada golongan belia. Kendatipun terdapat beberapa faktor lain yang membawa kepada perlencongan daripada nilai – kemiskinan, pendidikan, pengangguran, ketagihan dadah dan pengabaian anak-anak; tiada yang boleh mendakwa pengaruh yang lebih besar berbanding media massa. Pemerintah Malaysia pimpinan BN telah mengenakan sekatan wacana ilmiah dan politik, yang telah menghalang rakyat daripada bertanya soalan-soalan yang penting untuk memahami ‘gambaran yang lebih besar’.

Insiden hasutan kebelakangan ini mengesahkan fakta ini dan membayangkan kepada “pencergasan semula” kawalan kuku besi yang boleh dan akal menghalang kemajuan, terutamanya proses pencelikan. Mereka mengawal kandungan media tradisional (milik BN) dan menyebarkan salah maklumat untuk memperdayakan minda supaya berfikir apa yang mereka lihat sebagai bukan pemalsuan tetapi realiti. Justeru, oleh kerana masyarakat melihatnya, ia mesti betul dan sumbernya mesti dipercayai tetapi pendekatan ‘keras’ ini hanya memberi kesan jangka pendek yang akhirnya memakan diri dalam jangka panjang.

Belia kita hidup di zaman di mana mereka tidak boleh lagi mengasingkan diri mereka daripada imej berkuasa budaya popular, selain mereka juga tidak boleh lagi menggambarkan hari-hari sebelum internet dan telefon bimbit tanpa kamera. Kajian lalu juga menyimpulkan bahawa kenegatifan seperti keganasan menarik khalayak dan hal ini menidakkan nilai-nilai positif untuk mencetus pembinaan bangsa yang positif – media secara mudahnya mempunyai kuasa untuk membuatkan imej atau nilai-nilai ini tampak biasa dan diterima dalam masyarakat.

 

Peranan Kecelikan Media dalam Kurikulum

Banyak negara sudahpun memasukkan kecelikan media dalam sistem pendidikan mereka sama ada di peringkat rendah atau menengah, sementara sebahagian mungkin menyediakan subjek tersebut sebagai kelas elektif. Sebagai tamsilannya, pemerintah Kanada telah menjadikan kecelikan media sebagai subjek wajib, sementara negara seperti Sweden dan UK menawarkannya sebagai subjek elektif. Secara idealnya, mengintegrasikan kecelikan media dan pendidikan patut diperkenalkan sebagai sebahagian kurikulum sekolah kita dan mesti dimasukkan sebagai isu teras dalam apa-apa program pemerkasaan belia setempat.

Pengajian kritikal terhadap mesej visual, terutamanya kandungan tekstual tersembunyi dan bawah sedar adalah penting dan mesti ditekankan sebagai komponen teras dalam mempromosikan kecelikan media dalam kalangan belia kita. Tambah lagi, menggalakkan kemahiran analitik yang menerangkan pengembangan pendekatan kontemporari fasal makna mesej yang disampaikan dan bagaimana belia kita boleh secara positifnya berhipotesis atau deconstruct (membina semula) mesej tersebut mestilah digalakkan secara kritikal.

Kesannya, individu yang celik media akan berupaya untuk memahami mesej dan maklumat visual dengan mengambil kaedah kritikal dan terpelajar yang membolehkan mereka untuk menilai isu-isu yang mengelilingi skop politik, sosial dan ekonomi mereka dengan menilai kemampuan budaya mereka sendiri. Melalui pendidikan, masyarakat dibiasakan dengan bagaimana syarikat media beroperasi, bagaimana pemerintah atau organisasi mampu mencipta pemalsuan maklumat dan tapisan untuk menguatkan propaganda politik. Apa yang lebih penting, ia adalah tanggungjawab kita untuk menyampaikan mereka ilmu pengetahuan yang penting untuk memperkasakan keperluan kebijaksanaan mereka, untuk mencabar ketidakpedulian dan pesimisme selain menggalakkan mereka untuk berkhidmat kepada negara kita sebagai pendokong pembaikan politik dan sosial.

Disenaraikan di bawah beberapa elemen penting yang mesti diambilkira  ketika mereka program pendidikan kecelikan media yang berjaya:

Mengenalpasti bahawa semua media adalah dibina

Satu konsep penting yang menerangkan bahawa media tidak menggambarkan realiti tetapi mempersembahkan refleksi yang ditukangkan dengan cermat – kecelikan media akan diusahakan ke arah membina semua idea-idea ini.

Mengasingkan reka-rekaan daripada fakta

Sebahagian besar pendapat kita dipengaruhi pandangan peribadi tetapi kebanyakannya didasarkan kepada pelbagai mesej media yang kita telah tafsirkan secara sedar atau separa sedar.

Tafsiran kandungan

Meliputi keupayaan untuk mengingat dan mengecam apa yang telah berlaku dan kenapa, di samping merujuk kepada genre / prinsip dan kod kelakuan moral atau bagaimana kandungan boleh mempengaruhi moraliti dan rasional. Pemilikan media juga faktor penting yang boleh digunakan untuk menerangkan penyampaian kandungan, sebagai contoh bolehkah industri yang dikuasai lelaki patriarki mewakili secara adil wanita biasa?

Mengiktiraf peranan belia dalam media

Belia patut membincangkan perbezaan makna maklumat yang disalurkan melalui keperluan dan kekhuatiran peribadi, ketidakpuasan atau keseronokan, sikap jantina dan perkauman, latar belakang politik dan sosial dan perspektif moral.

Menyedari mesej mungkin mengandungi kesilapan maklumat ideologi atau mesej penting

Kesemua media mengandungi mesej atau kecenderungan untuk mengisytiharkan nilai-nilai yang diterima. Sebahagiannya menyampaikan mesej tersirat atau tersurat; propaganda atau isu terdesak; toleransi ke atas diskriminasi atau hormat.

Semua mesej akan mempunyai kesan sosial dan politik, satu cara atau sebaliknya. Sebagaimana media boleh digunakan untuk mempengaruhi pilihan raya, menghancurkan atau membina imej atau menerangkan kebimbangan besar seperti isu hak asasi, kesamarataan gender atau kelampauan agama, keupayaan untuk membezakan mesej-mesej tersebut juga dilihat sebagai langkah ke arah menerima masyarakat yang adil dan demokratik.

[1] National Communication Association (1998). K-12 speaking, listening, and media literacy standards and competency statements. Washington, D.C.: National Communication Association.

[2] “Playing the future: How kids’ culture can teach us to thrive in an age of chaos” (1996) oleh Douglas Rushkoff, HarperCollins: New York

[3] “Understanding the Anxieties and Desires of Malaysian Youth” & “Understanding Youth Consumption Patterns” (2012) oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

[4] “13.3 million M’sians are Facebook users” (June 16, 2013) oleh Norni Mahadi, The Borneo Post