Sementara tidak pernah setinggi ini harapan kita untuk penjajaran semula politik akan berlaku, dan tidak pernah UMNO setelanjang ini terdedah dengan rasuah jijik dan kejahilan totok mereka terhadap Malaysia dan rakyat Malaysia; saya kira masih belum sampai masa kita rancang pesta keraian lagi.
Dalam negara demokrasi, satu kedudukan yang negara kita sekian lama abaikan ini; keyakinan rakyat, integriti individu dan keabsahan perwatakan peribadi adalah ciri-ciri yang tidak dapat dikompromi lagi untuk lelaki dan wanita yang diamanahkan memegang jawatan politik tertinggi di negara mereka. Tatkala mana-mana sahaja ciri tersebut diragui, “otot memori” politik yang sepatutnya ialah mereka perlu meletak jawatan untuk melindungi negara, parti dan sistem demokrasi dari keaiban lanjut.
Dalam autokrasi berpilihanraya yakni Malaysia, pemerintah elit UMNO malah tidak mampu menghadam idea peletakan daripada jawatan yang dipertikaikan tersebut kerana ia dianggap sebagai pengakuan salah yang seakan-akan permintaan maaf.
Perkataan semudah “maaf” tidak wujud dalam perbendaharaan kata politik UMNO. Untuk memohon maaf, seseorang itu perlu menjiwai rasa malu; justeru seseorang yang tidak mampu atau tidak mahu memohon maaf bila ternyata bersalah meski berkali-kali, adalah seseorang yang memang tidak tahu malu. Jelaslah, itulah UMNO.
Apatah lagi, UMNO lebih cenderung untuk mengambil kaedah kuku besi mempertahankan apa yang tidak boleh dipertahankan lagi. Mereka sanggup menyeretkan isu ini untuk melengah-lengahkan masa supaya mereka dapat terus melakukan penyelewengan-penyelewengan yang sama.
Pendedahan penyelewengan sebesar ini akan dibaca sebagai lampu hijau kepada si penguasa dan berpengaruh untuk bertungkus lumus saat-saat akhir untuk menyelesaikan akaun bank Swiss mereka sebelum hilang ditelang zaman.
Kita tidak upaya berhadapan dengan kepakaran, kekejaman dan kehancuran terdesak yang UMNO/BN sudah terbiasa. Walaupun ia sangat menggiurkan untuk memikirkan UMNO/BN akan punah dek kebobrokan mereka sendiri, kita tidak patut berpuas hati. Sekarang bukanlah masanya untuk tunggu dan lihat drama ini berlaku.
Kepada segelintir kita yang telah berazam sebagai pemimpin Perubahan, kita mesti bersedia menghadapi layanan terburuk ke atas kita. Dalam perpecahan dalam UMNO, yang paling ekstrim dan yang paling terdesak akan berbunyi paling kuat. Kita akan jatuh serendah-rendahnya sebelum keadaan beralih pulih.
Kepada agen perubahan yang beraspirasi, tidak pernah segenting ini untuk kalian mempersiapkan diri kalian untuk berkhidmat kepada prinsip-prinsip anda, negara anda dan rakyat se-Malaysia. Tatkala pejuang-pejuang di barisan hadapan dikorbankan untuk dihumban ke tabir besi UMNO, KALIAN MESTI langkah ke hadapan.
Untuk kita semua, sebagai rakyat Malaysia kita harus mempamerkan semangat jitu lebih daripada biasa, kerungutan kita terhadap cara duit cukai yang teruk kita perolehi itu dimamah kegelojohan politik UMNO.
Saat kemarahan kita rebah, ialah saat mereka menggandakan usaha jahat mereka. Kita harus terus memberi tekanan dan menggerakkan momentum sehinggalah kuasa dikembalikan kepada rakyat. Jangan sesekali memandang enteng kegentingan SEKARANG yang hangat ini.
Apa yang kita perlukan bukan mengubah pengawal-pengawal di Barisan Nasional, malah bukan sahaja mengubah parti pemerintah sahaja; kemusnahan dan reputannya terlalu dalam dan besar. Apa yang kita perlukan ialah anjakan paradigma dan tatarajah sepenuhnya bagaimana kita rakyat Malaysia berfikir dan melakukan politik. Tidak akan ada masa sebaik sekarang untuk menyedarinya.
Kita tidak boleh semudah mengambil pandangan sesetengah politikus yang menganggap pihak pembangkang diberi anugerah Tuhan yang sekarang UMNO sedang memusnahkan dirinya. Mereka tidak mudah luntur menjangkaui jangkaan kita, jika tidak kerana inersia, ia kerana tenaga mereka menentang.
Dan ya, jika ini bermakna kita perlu turun ke jalan untuk protes secara aman, maka biarlah. Perarakan Bersih yang terbesar setakat ini hanyalah kejayaan yang lalu, justeru kita perlu menjangkauinya secara lebih jauh. Tidak pernah ada tanah sesubur ini untuk peralihan tektonik politik yang semurni ini.