Oleh Mahdzir Ibrahim


 

Apabila kita bercakap tentang industri perikanan tempatan yang melibatkan nelayan pantai, beberapa pandangan tipikal akan segera muncul dalam ide-ide perbincangan antaranya – nelayan dan kemiskinan serta nelayan dan subsidi. Perbincangan ini akhirnya gagal dan tidak membawa isu ini kemana-mana.

Aspek kelestarian alam juga gagal dilihat sebagai sebahagian daripda sumber ekonomi, aspek kebersihan dan pewartaan kawasan sensitive juga hanya dilihat sebagai isu sampingan yang tidak begitu kritikal berbanding isu percukaian dan kos pembangunan yang lain.

Dalam masalah ini, akhirnya kerajaan akan berbangga dengan angka-angka pengeluaran dan pendapatan (revenue) serta angka-angka bantuan sosial yang telah dibelanjakan oleh mereka ke atas golongan nelayan, hal perikanan dan pemeliharaan alam sekitar.

Dengan maksud lain, angka-angka ini dijadikan justifikasi bahawa kerajaan telah mengambil berat dan berbuat sesuatu atas masalah ini.

Sehingga kini belum ada pengetahuan, kepakaran dan teknologi yang benar-benar berjaya digunakan untuk tujuan penyelesaiannya. Maka, inilah cabarannya. Satu reformasi dasar dan perlaksanaan merangkumi agensi-agensi yang terlibat perlu dilakukan.

TINJAUAN

Tinjauan ini hanya akan menfokus isu berkaitan nelayan pantai atas beberapa sebab antaranya faktor bilangan mereka yang terlibat dalam aktiviti ini serta faktor jumlah sumbangan hasil tangkapan kepada negara.

Tinjauan ini juga bukan bersifat akademik tetapi berdasarkan pemerhatian daripada laporan isu-isu semasa, statistik dan analisis semasa serta pengalaman turun padang melihat sendiri situasi sebenar khususnya di kawasan Selatan dan Pantai Barat Johor yang mana kawasan ini saya kenali berdasarkan penglibatan saya secara langsung dalam politik dan kemasyarakatan.

MIKRO

Kuantiti dan Nilai Tangkapan

Selain daripada faktor cuaca dan musim, aspek ini sebenarnya amat bergantung dengan peralatan tangkapan ikan yang mana rata-rata nelayan pantai menggunakan cara tradisional seperti memancing, menggunakan jaring, pukat hanyut, bubu, pukat tanggok dan lain-lain.

Jentera mereka pula hanyalah bot kecil dengan enjin sangkut berkuasa rendah. Dalam Perangkaan Jabatan Perikanan Negara 2012, di Pantai Barat Johor sahaja nelayan yang menggunakan enjin berkuasa kuda kurang daripada 100 k.k (hp) sekitar 2390 buah bot, hampir separuh daripada jumlah keseluruhan 4815 bot nelayan kelas A yang berlesen.

Teknik nelayan pantai mencari ikan pula kebanyakannya berdasarkan pengalaman menerokai kawasan aktiviti pencarian ikan, tidak ada sebarang teknologi digunakan seperti sistem sonar. Komen beberapa nelayan atas penggunaan teknologi ini amat mudah iaitu sonar biasa digunakan untuk pencarian kumpulan ikan yang besar sedangkan peralatan tangkapan mereka tidak akan mampu untuk menampung sejumlah kawanan ikan sebanyak itu apatah lagi dengan saiz bot yang kecil dan berkuasa rendah, maka teknologi tersebut dirasakan tidak perlu bagi mereka.

Keadaan ini mempunyai kaitan dengan kemampuan modal untuk membelinya, baik bot atau jentera yang lebih besar dan peralatan tangkapan yang lebih efisien. Maka, apabila sudah tidak mampu memiliki kelengkapan tersebut, maka kemahiran dan teknologi tidak dapat dimanfaatkan.

Hasil daripada kelemahan ini maka hasil tangkapan amat sukar dijangka dan purata tangkapan tidak menentu, natijahnya nilai tangkapan juga tidak menentu.

Ada ketika pulang dengan laba yang besar hingga ada nelayan yang boleh mendapat pulangan bersih RM 1000 untuk sekali turun ke laut, tetapi lebih ramai pula yang pulang hanya dapat tolak duit petrol bot yang telah disubsidikan sekitar RM 30 dengan tempoh masa ke laut 9 jam sehari.

Sosial, Kebajikan, Orang Tengah dan Persatuan Nelayan

Kebanyakan nelayan pantai ini bukanlah kelompok mereka yang pemalas atau tidak berpendidikan dan menjadi nelayan kerana tidak mempunyai pilihan lain dalam bidang pekerjaan. Tetapi kumpulan ini dilihat sebagai kumpulan yang tercicir dalam arus kemodenan industri. Subsidi diguna untuk membantu mereka, tetapi malangnya subsidi ini telah mendorong mereka untuk tidak berkembang memajukan pekerjaan mereka.

Pelaburan kerajaan dalam bidang perikanan lebih tertumpu kepada projek akuatik iaitu penternakan ikan dalam sangkar yang dilihat lebih efisen dan berdaya saing. Maka aspek nelayan pantai dilihat sebagai tiada prospek untukjangka panjang.

Projek penternakan ikan yang dibuat dikawasan pantai pada hakikatnya memberi kesan buruk terhadap ekologi kawasan pantai bilamana, kawasan bakau ditebang untuk projek akuatik ini.

Di akui bahawa aspek pembangunan nelayan ini semamangnya agak kompleks kerana ia melibatkan individu serta latar belakang kehidupan mereka. Namun, beberapa pendekatan yang berasaskan memberdaya (empowerment) harus diberi fokus utama iaitu pekerjaan nelayan mestilah dilihat mempunyai prospek kemajuan, bukan bersifat tradisional dan warisan.

Memang ada agensi seperti LKIM dan Jabatan Perikanan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat ada memain peranan untuk membantu meningkatkan kualiti hidup nelayan pantai, namun belum berjaya, kita yakin halangan utama perkara ini adalah faktor keazaman politik (political will) diperingkat pelaksana.

Akta Persatuan Nelayan 1971 digubal untuk mewujudkan Persatuan Nelayan bagi semua kategori dan pelbagai peringkat kawasan. Langkah ini amat baik namun amalan persatuan-persatuan ini menjadi budaya yang tidak baik apabila wujud ‘politiking’ dikalangan ahli persatuan yang juga ahli parti politik tertentu peringkat cawangan, JKKK dan sebagainya.

Sungguhpun pelbagai skim diwujudkan dalam persatuan ini khsusus untuk membantu kebajikan nelayan seperi pinjaman perumahan, pendidikan, perniagaan dan kecemasan, ia masih bergelut dengan tahap kemahiran beroganisasi dikalangan mereka. Apa jua latihan yang diberikan untuk menggerakan aktiviti persatuan, ia masih gagal kerana faktor ‘politiking’ ini. Maka persatuan nelayan yang ditubuhkan, turut gagal sepertimana agensi kerajaan yang lain.

Isu dana tidak turun kepada nelayan, isu peruntukan tidak mencukupi, isu pemberian bantuan secara selektif dan tidak telus serta isu ketirisan, berlaku dalam dua tahap organisasi ini baik diperingkat agensi kerajaan dan juga persatuan. Maka akta dan organisasi yang dibina, gagal mencapai matlamatnya.

Baru-baru ini LKIM berhasrat untuk ‘memerangi orang tengah’ dengan menggunakan entiti Nekmat, ia satu lagi persatuan nelayan yang berdaftar sebagai syarikat untuk mengambil alij peranan orang tengah (baca : peraih ikan berketurunan Cina) dengan niat untuk membantu meningkatkan lagi pendapatan nelayan pantai.

Namun usaha ini seakan tidak ada lojiknya kerana kemampuan Nekmat ini diragui dapat memain fungsi seperti peraih ikan ‘Cina’ yang mana bantuan  dan khidmat yang diberikan oleh mereka jauh lebih menyeluruh daripada Nekmat.

Sebagai contoh, peraih ikan ini mengenali nelayan secara individu yang mana hubungan erat ini melangkaui hubungan perniagaan iaitu bantuan kebajikan dan kecemasan.

Dari tinjauan yang dibuat, sungguhpun ramai dikalangan nelayan ini mengeluh dengan harga tawaran peraih ‘Cina’ ini, mereka tetap mencarinya kerana peraih ini mampu memberi khidmat ‘wang pendahulaun’ dalam jumlah yang agak munasabah. Ini khidmat utama peraih ikan Cina.

Malah mereka ini sanggup membantu apabila berhadapan dengan keadaan yang tidak menentu seperti keadaan cuaca yang buruk untuk nelayan turun kelaut, termasuk bantuan wang perubatan apabila berlaku kecemasan/kemalangan/kesihatan dikalangan keluarga nelayan yang memerlukan bantuan segera walaupun ketika waktu cuti dan tengah malam.

Maka persoalannya, adakah Nekmat mampu menyaingi khidmat orang tengah ‘Cina’ yang ingin dibenci dan diperanginya ini? Nekmat adalah satu badan yang beroperasi mengikut waktu kerja dan kakitangannya tidak mempunyai hubungan erat dengan para nelayan secara individu walaupun Nekmat ini sebuah persatuan nelayan. Seperti kita maklum, politiking dalam persatuan nelayan amat kuat, tidak terkecuali Nekmat.

Begitu juga dengan masalah perlesenan dan tuntuan subsidi. Sudah menjadi rahsia umum bahawa ada individu yang mempunyai lesen kelas A tetapi mereka bukan nelayan sebaliknya nelayan yang sebenar tidak mempunyai lesen. Kes ini banyak berlaku di kawasan selatan, pantai barat johor dan timur johor. Mereka yang mempunyai lesen ini mendapat subsidi yang diperuntukan kepada golongan nelayan.

Mengikut terma yang ditetapkan, selain daripada memiliki bot, seseorang yang memiliki 60 peratus sumber pendapatannya dari aktiviti tangkapan dan jualan ikan, maka dia adalah nelayan. Untuk menentukan tangkapan dan jualan ikan itu pula, ia memerlukan resit transaksi jualan ikan. Resit transaksi ini boleh diciplak atau dipalsukan. Kerana tidak ada syarat jelas dalam terma ini.

Dengan menyertakan resit jualan ikan ini maka mereka boleh memohon lesen dengan sokongan JKKK atau Ketua Kampung atau Ketua Parti Politik kawasan terbabit. Selain daripada itu, mereka yang mempunyai lesen tetapi bukan nelayan ini menjalankan aktivitinya dengan menyewakan bot kecil kepada nelayan miskin. Dan bayaran sewa itu bergantung kepada pemilik bot tersebut. Sistem ini tiris dan lompong. Mereka juga layak menuntut subsidi petrol yang ditetapkan, termasuk segala bantuan untuk nelayan. Belum ada pemantauan yang cekap dalam masalah ini.

MAKRO

Ekosistem dan Pencemaran Alam Sekitar

Masalah ketidaktentuan hasil tangkapan juga berkait rapat dengan fakor ekologi semasa perairan negara. Dengan trafik kapal dagang yang tinggi diperairan Selat Melaka dan Selat johor, kes tumpahan minyak kapal sering berlaku. Tumpahan minyak ini memberi kesan secara langsung bukan sahaja kepada kualiti air dan ikan malah memberi impak teruk kepada nelayan apabila peralatan tangkapan seperti jaring dan pukat rosak.

Dari laporan-laporan mutakakhir ini, kejadian tumpahan dan pembuangan minyak dari kapal-kapal dagang yang melalui Selat Melaka hingga ke Selat Johor, jumlahnya amat tinggi dengan saiz berskala besar. Di kawasan Pontian, Tanjung Piai hingga ke Selat Johor (Gelang Patah) sahaja untuk tahun 2014, telah berlaku tidak kurang dari  6 kali tumpahan minyak malah pada tahun 2009 sahaja jumlah berlakunya tumpahan minyak dicatatkan mencecah 12 kali dalam tempoh 1 tahun.

Kerosakan utama adalah peralatan dan enjin bot nelayan. Ini telah memberi kerugian besar bukan sahaja kepada peralatan tangkapan tetapi hasil tangkapan. Ini tidak termasuk dengan kerosakan sumber marin tempatan malah kos pembersihan yang ditanggung oleh kerajaan juga tinggi.

Dari laporan statistik Alam Sekitar, Purata kepekatan bahan pencemar utama berdasarkan IMWQS, Malaysia, 2005–2009 Minyak dan Gris (O&G) adalah melebihi dari paras dibenarkan iaitu 3.72 mg/l pada tahun 2009 yang mana had yang ditetapkan adalah 0.0 mg/l. Dengan nisbah ini, tumbuhan marin seperti seagrass (rumpai laut) akan musnah sama sekali.

Rumpai laut adalah sumber utama makanan ikan diperairan negara. Malah, dengan semakin terhakisnya Hutan Paya Bakau yang seharusnya menjadi ejen neutralisasi terhadap bahan pencemar ini, maka kesan kerosakan alam sekitar marin menjadi lebih buruk. Hingga kini belum ada laporan terperinci dan lengkap telah dibuat terhadap kesan-kesan kerosakan diperairan tersebut.

Kesan terhadap kualiti air ini dapat dilihat dengan jelas apabila banyak ternakan ikan mati. Untuk tahun 2014 ini sahaja sudah 3 kes kemaian ikan dilaporkan telah berlaku dikawasan Selat Johor, Tanjung Kupang dan Danga Bay yang melibatkan kerugian jutaan ringgit.

Dari tinjauan saya ke atas beberapa orang nelayan pantai, 10 tahun sebelum wujudnya trafik kapal yang sibuk dikawasan 5 batu nautika dari pantai, dalam sebulan nelayan pantai mampu ‘menemui’ hasil  tangkapan sekitar RM 700-1000 sebanyak hampir 4 kali dalam tempoh sebulan. Namun kini, untuk ‘menemui’ tangkapan dengan nilai RM 500 pun nisbahnya mungkin 2-3 bulan baru sekali berjumpa, itupun jika bernasib baik.

Ketidaktentuan ini pada asasya adalah lumrah apabila sesuau aktiviti ekonomi itu bergantung banyak kepada cuaca dan alam sekitar, namun ketidaktentuan ini sudah menjadi ‘trend’, dan ini bukan lagi normal.

Di Pontian dan Tangjung Piai sahaja kes hakisan pantai dilaporkan semakin teruk. Dari tinjauan ke beberapa lokasi di sekitar kawasan Rambah, Tanjung Piai dalam Daerah Pontian, ada pemilik tanah yang memiliki tanah sekitar 3 ekar, kini sekitar tahun 2011, 2 ekar dari tanahnya itu sudah menjadi laut. Ini bermakna, hakisan pantai berlaku kerana berlakunya kepupusan Hutan Paya Bakau dikawasan tersebut. Bagaimana pula hutan paya bakau yang dikatakan mampu menahan ombak kuat tsunami tetapi boleh terhakis?

Dalam tempoh 50 tahun yang lepas, kawasan pesisiran pantai di Malaysia umumnya, hampir 80% hutan paya bakau telah ditukar untuk tujuan yang lain. Namun mengikut dari plan fizikal nasional kedua, Johor sendiri masih mempunyai sekitar 300 ribu hektar tanah yang boleh dibangunkan tanpa perlu menyentuh kawasan-kawasan sensitif disekitar perairan pantai. Dikawasan Sungai Johor berdekatan PTP dan Tanjung Bin sahaja, hampir 70 peratus hutan paya bakau telah hilang.

Agensi Kerajaan dan Penguatkuasaan

Birokrasi – baik LKIM atau Jabatan Perikanan, ada yang mengeluh kerana jumlah kakitangan tidak mencukupi untuk satu-satu kawasan perikanan. Sebagai contoh di kawasan Pontian dan Tanjung Piai, jumlah kakitangan yang menyelia subsidi dan keperluan nelayan sekitar 3-4 orang yang mana luas kawasan dan jumlah nelayan melebihi 4 ribu orang. Maka ini menambah lagi beban dan kelancaran agensi untuk memainkan fungsinya dengan cekap dan berkesan.

Kes-kes pencerobohan zon perikanan sering berlaku dikawasan kategori A iaitu dibawah 5 batu nautika dari pantai. Ia berlaku diseluruh Malaysia. Sungguhpun kini Jabatan Perikanan telah menggunakan Sistem Pemantauan Vessel (VMS) dan setiap bot kelas B wajib memasang peralatan yang dikenali sebagai Mobile Tracking System bertujuan untuk memantau aktiviti penangkapan ikan bot-bot terbabit.

Namun, usaha ini belum betul-betul berkesan kerana pelbagai faktor antaranya, kes pencerobohan khsusunya diperairan Selat Johor dan Selatan Selat Melaka yang terletak begitu hampir dengan periran antarabangsa maka pencerobohan berlaku rentas sempadan, bukan hanya melibatkan bot nelayan tempatan kelas B.

Pada masa yang sama, perlaksanaan Mobile Tracking System ini juga membebankan nelayan kelas B pula kerana kaedah yang digunakan tidak efisen baik dari segi kos dan pilihan ke atas peralatan tersebut.

Dalam aspek penguatkuasaan, diakui APMM sedang memperkukuh organisasi dan operasi mereka khususnya dikawasan-kawasan sensitif perairan negara. Kekuatan aset APMM banyak ditumpukan dikawasan pantai Timur Sabah untukmenangani ancaman pencerobohan dan keselamatan, bukan untuk memantau pencerobohan zon perikanan.

APMM diletak dibawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri bukan KDN, bukan MINDEF bukan juga Kementerian Pertanian/Perikanan. Dalam aspek tugas dan operasinya juga kurang jelas, kerana tugas mengawal perairan negara termasuk kegiatan pencerobohan dan penyeludupan  sudah dijalankan oleh Kastam, Polis Marin dan Angkatan Tentera (TLDM).

Jadi apa pula peranan sebenar APMM ini? Mereka telah mengambil aset Jabatan Perikanan, bermakna mereka mengambil alih peranan Jabatan Perikanan di laut. Kita mempunyai Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984, maka seharusnya ada sebuah agensi tetap dengan sturuktur yang jelas dan yang fokus melaksana dan menguatkuasakan akta ini secara cekap. Dari akta ini kita tidak jelas dimanakah kedudukan APMM.

Keadaan ini perlu dikaji memandangkan wujud kes dimana apabila nelayan membuat laporan pencerobohan zon perikanan kategori A, pihak APMM yang memberi respon atas laporan itu didapati tidak dapat mengambil tindakan kerana anggota meraka tidak mengetahui jenis pukat yang dibenar atau tidak oleh undang-undang dan akta perikanan.

Ini menimbulkan rungutan dan kekeliruan memandangkan APMM mengambilalih peranan Jabatan Perikanan termasuk aset-aset Jabatan, tetapi gagal menjalankan tanggungjawab seperti yang telah ditetapkan.  Apakah anggota APMM ni cukup terlatih dalam aspek penguatkuasaan undang-undang perikanan?

Polisi Pembangunan Persisir Pantai

Kita mempunyai Rancangan Malaysia (RM) dan pelbagai lagi dasar atau ‘blueprint’ apa jua projek mega yang telah dan sedang kita bangunkan termasuk dasar perikanan negara, Dasar Agromakanan Negara dan sebagainya. Namun demikian, kita juga perlu mempunyai rujukan berkaitan pembangunan persisir pantai.

Jika kita lihat projek mega Wilayah Iskandar di Johor, kita dapati beberapa projek mega yang terletak dikawasan persisir pantai yang ditakrif sebagai kawasan sensitif alam sekitar telah diceroboh yang mana projek seperti ini tidak mempunyai pelan komprehensif yang jelas serta tiada laporan alam sekitar.

Projek Forest City ini menjadi contoh kedua selepas Projek RAPID di Pengerang yang juga melibatkan pembangunan persisir pantai dikawasan sensitif. Kita percaya lebih banyak lagi projek-projek besar yang sedang dirancang meliputi mana-mana kawasan di Malaysia yang terletak dikawasan persisir pantai.

PENUTUP

Permasalahan mikro dan makro yang dinyatakan ini, adalah beberapa bahagian penting dari pelbagai masalah lain.

Nelayan, perairan pantai, teknologi dan agensi-agensi dengan peruntukan dana telah sedia ada. Tetapi permasalahan dilihat semakin kusut.  Apakah yang tidak kena?

Satu reformasi dasar dan sistem penyampaian perlu dibuat. Malah berkemungkinan beberapa akta-akta yang sedia ada perlu disemak dan dikaji kembali untuk memastikan sistemnya lebih cekap, tiada berlaku lagi pertindihan tugas/bidang kuasa, kekurangan kakitangan, kelemahan pemantauan dan ketirisan peruntukan.

Aspek dalaman yang lain ialah kaedah penyampaian maklumat, latihan dan pembangunan perlu diubah, dikemaskini dan dijalankan oleh kakitangan yang profesional.

Untuk aspek luaran, pakar-pakar yang berkaitan dengan isu ini perlu dijemput untuk memberikan buah fikiran kepada kerajaan. Malah mereka harus diberi peranan untuk membantu, mengurus dan mengetuai agensi-agensi yang berkaitan dengan industri ini, bukan ahli politik.

Akhir sekali, pelaburan ke atas industri ini mesti diberi fokus seperti lain-lain industri. Kejayaannya terletak pada sejauh mana kita meningkatkan prospek industri perikanan sesuai dengan kemodenan teknologi.


 

Salinan Rujukan

  1. Akta 311 – Akta Zon Ekonomi 1984
  2. Akta A1413 – Akta Perikanan (Pindaan) 2012
  3. Akta 44 – Akta Persatuan Nelayan 1971
  4. Akta Pelabuhan-Pelabuhan (Penswastaan) (Pindaan) 1995.
  5. Perangkaan Perikanan 2012, Perangkaan Malaysia
  6. Perangkaan Perikanan 2012, Jabatan Perikanan Malaysia
  7. Laporan Ketua Audit Negara

Aktiviti Kementerian/Jabatan Dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan Siri 3

  1. Laporan Tangkapan Ikan 2011-Jilid 1 & 2
  2. The Problems of Traditional Fishermen in Peninsular Malaysia : Solutions without an End

Mohammad Raduan, Mohammad Sharir & Zarina Aziz

  1. Laporan Kedudukan Sektor Perikanan Di Malaysia 2008
  2. Environmental Statistics Times Series Malaysia 2013
  3. Compendium of Environment Statistics Malaysia 2013
  4. Economic Census Isbn 978-983-9044-76-8 Environmental Compliance
  5. The Economic Value Of Natural And Environmental Resources. Jochem Jantzen TME, Institute for Applied Environmental Economics
  6. Report On The Survey Of Enviromental Protection Expenditure 2012 & 2013, Department Of Statistic Malaysia.
  7. Forest Management & Redd+ In Peninsular Malaysia By Koh Hock Lye, Director, Forest Management Division