Ramai antara kami menjadi dungu apabila melangkah jauh daripada Zon Ilmu Lembah Klang. Ada yang hebat bersyarah di Chow Kit Road kembali menjadi sayur apabila merentas Padang Polo. Ada yang hebat berpuisi, tetapi bila sampai di Alor Setar, setahun jari tak berfungsi. Ada pula apabila setiap kali pulang ke Batu Gajah, seminggu sekali baharu keluar rumah. Sahabat saya dari Ipoh yang merupakan aktivis di Universiti Malaya akan merindui saat-saat menyibukkan diri siang malam berlari dari Shah Alam ke Gerak Budaya. Setiap hujung minggu pasti diisi dengan kelas dan kem; paling tidak pun, pasti dijemput untuk berdiskusi bersama sahabat handai.

SAYA JUGA ORANG IPOH

Saya terfikir, apa yang kurangnya Ipoh sehinggakan saya sanggup meredah PLUS, menghabiskan RM120 pergi balik Ipoh-Kuala Lumpur?

Sewaktu saya masih lagi menuntut di Universiti Putra Malaysia dahulu, saya banyak melibatkan diri dengan kem, dan seminar anjuran universiti. Tidak cukup dengan itu, saya gagahkan diri untuk sertai kelas dan majlis ilmu anjuran universiti dan kolej luar. Merasakan yang ketamakan ilmu itu kian menggunung, saya mula menjinakkan diri dengan gerakan intelektual bebas. Gerakan seperti ini pada hemat saya menyediakan ruang dan konteks yang lebih selesa untuk mencabar sebarang pemikiran terhadap sebarang isu.

Kini, setelah pulang ke kampung halaman, perkara-perkara yang menjadi suatu amalan itu tidak lagi saya nikmati. Sahabat-sahabat yang dari sekolah rendah dan menengah dahulu ada yang kini sudah berkeluarga, sudah tidak lagi mahu berkumpul. Ramai juga dalam kalangan mereka yang sudah tidak mahu pulang, lebih seronok bergelumang dengan cahaya Kuala Lumpur. Kumpulan-kumpulan tempatan di Facebook pula tidak menghebahkan sebarang majlis ilmu untuk disertai; kalau ada pun, tajuk entah apa-apa (BACA: stereotaip).

INI TIDAK BOLEH JADI!

Setelah sebulan di Ipoh hanya dengan buku-buku statik dan tanpa diskusi ilmu, kita sendiri boleh rasa otak sudah semakin dungu. Pada masa itu, saya tekad untuk bawa Kuala Lumpur datang Ipoh. Terbeban dengan ekonomi yang semakin merudum memaksa diri saya untuk mengawal nafsu meredah PLUS dan seterusnya bermimpi untuk merangka satu projek terperinci dalam usaha menjadikan Ipoh penuh dengan cahaya ilmu dan harapan. Misi saya yang pertama adalah mencari sokongan. Lima tahun meninggalkan Ipoh membuatkan saya clueless tentang budaya masyarakat di sini. Jadi, saya menggagahkan diri untuk bertemu ramai pencinta ilmu yang juga menantikan Ipoh bercahaya.

Hasil daripada pertemuan tersebut, sebuah projek telah dirangka. Projek ini, yang masih tidak mempunyai nama, memegang konsep mengimport pelbagai aktiviti-aktiviti bermodul yang sedia wujud di Kuala Lumpur untuk dilebarkan sayap ke Ipoh. Projek tersebut meletakkan sasaran dua golongan masyarakat iaitu yang meminati diskusi informal dan kelas formal. Aktiviti-aktiviti sedia ada yang diambil contoh adalah Kelas Pencerahan (Hafizz Dzulkifli), Kelas Kajian Dasar (Institut Kajian Dasar), Sembang Kencang dan Debat Showdown (Bring Your Own Thought Society), Bedah Buku (Buku Jalanan), Bedah Filem (BangsArt) dan Aksara (The Sponsorship Movement).

Projek ini kemudiannya diwacanakan supaya dapat menarik perhatian pihak-pihak yang menyokong aspirasi yang sama. Tidak beberapa lama kemudian, projek ini mendapat perhatian dan panduan daripada ADUN Pasir Pinji yang juga mempunyai idea yang sama untuk menjadikan Ipoh lebih hidup dengan ilmu. Kini, untuk tahun 2016, projek diskusi bersiri yang bernama Projek Signifikir telah pun mempunyai perancangan pelaksanaan sebanyak 34 kelas. Kelas-kelas yang akan dilaksanakan adalah Kelas Kajian Polisi dan Dasar, Sembang Kencang, Debat Showdown, Bedah Filem dan Bedah Buku.

Namun, projek ini, sama ada akan berjaya ataupun tidak, adalah merupakan salah satu daripada usaha mendemokrasikan intelektual supaya pendapat dan cadangan setiap warganegara boleh didengari dan pada masa yang sama, mereka juga mendapat input dan nilai tambah yang baharu dan segar. Setiap diskusi akan diwacanakan supaya mereka yang tidak hadir dapat merasai dan merindui nikmat berhimpun. Setiap kelas akan diminitkan supaya pendapat dan cadangan para peserta berkemampuan untuk dijadikan bahan rujukan pada hari mendatang. Itu boleh membina keyakinan mereka untuk berfikir.

Masyarakat yang diasah mindanya akan lebih matang dalam membuat keputusan kerana mereka berkemampuan untuk membuat timbang tara yang adil tentang pelbagai perkara. Check dan balance akan tercapai jika setiap warganegara membantu eksekutif politik dalam membuat pilihan yang baik. Pelaksana polisi dan dasar akan berkuasa dan merasakan diri mereka sentiasa betul apabila masyarakat diam seribu bahasa. Namun, tidak dinafikan, kekangan utama dalam usaha menjadikan setiap warganegara berani bersuara adalah sikap itu sendiri. Ramai antara kita yang terlalu takut untuk bertanya. Jika kita seorang diri di dalam bilik kebal tanpa kamera litar tertutup ataupun mikrofon tersembunyi, masih ada yang takut untuk bertanya dan mencabar pemikiran. Masalah itu, pada hemat saya, perlu jauh keterhadapan diselesaikan dahulu.

BLUEPRINT UNTUK SEMUA

Saya terfikir, alangkah indahnya jika setiap bandaraya utama setiap negeri di Malaysia boleh mengambil inisiatif yang sama dalam membudayakan ilmu dan pemikiran. Abang dan kakak, pakcik dan makcik yang bekerja di kedai sebelah mungkin juga graduan daripada mana-mana universiti yang hebat; hargai mereka dan ingatkan mereka tentang nikmati berhimpun untuk ilmu. Mungkin saya tidak perasan, ataupun mungkin saya tidak cukup buka mata, tetapi apa yang berlaku di Ipoh adalah seperti itu. Cukup untuk kita mulakan diskusi dengan semata-semata empat lima orang secara usaha sendirian. Tidak perlu berpuluh dan beratus untuk yang pertama dan kedua dan ketiga. Tidak perlu isu berat-berat untuk permulaan; cuma memadai dengan apa yang jadi semalam. Tidak semestinya perlu menjemput orang-orang yang hebat daripada hujung dunia; cuma memadai julang tokoh kampung yang lebih rapat dengan jiran tetangga. Tidak perlu bentang karpet merah dari kaki pintu ke hujung kerusi; cuma memadai berhimpun di kedai kopi.

Misi pertama: Cari komuniti dahulu.

Kedua: Kekalkan mereka.

Ketiga: Hormat pendapat orang. Jangan buat musuh.

Keempat: Lebarkan sayap (BACA: tambah baik).