Pada waktu itu,saya sedang berada di atas kapal terbang menuju ke Sabah. Tiba-tiba saya telah disampuk oleh penumpang sebelah.

“Negara kita dijangkiti penyakit teruk. Penyakit itu dipanggil Toleransi dan Kompromi. Atau nama pendeknya Sindrom Kami. Yang dijangkitinya susah hendak bilang perkataan Kita bertemu orang tidak sewarna kulit dia”

Itulah yang disebut oleh seorang pakcik umur kira kira 60an yang memperkenalkan diri sebagai Pak Hashim. Beliau duduk disebelah saya di kapal terbang tadi. Ayat itu keluar setelah terbaca tajuk suatu rencana yang sedang disunting oleh saya:

Equal citizenship under the law; does it exist in Malaysia?
Kewarganegaraan saksama dibawah undang undang; adakah ia wujud di Malaysia?

“Pada asalnya dan awalnya, Mungkin ada sedikit. Tetapi Ini sesuatu konsep yang semakin lama semakin rakus di negara kita. Saya tidak dijangkiti… saya masih boleh bilang Kita… karena kamu mimang orang kita… pasport sama, tengok” Tambah beliau dengan dialek Sabahnya yang manis.

Ia boleh diperhatikan kebelakangan ini, ramai di antara warganegara dari kesemua kaum dan agama, yang begitu lantang mempertahankan KeMalaysia-an mereka. Syabas dan tahniah diatas keazaman mereka terhadap negara; tetapi dasar dan cara ia diusahakan amat merunsingkan.

Semakin sering kita dengar hujah-hujah seperti:

Malaysia milik satu kaum sahaja, yang lain pendatang
Malaysia tidak akan berfungsi tanpa sumbangan kaum kami maka Malaysia kami punya
Orang yang beragama kamilah yang benar benar anak jati Malaysia
Kami majoriti di sini maka mereka tak layak menyibuk hal kami

Istilah istilah seperti ‘toleransi’, ‘kompromi’, telah menyerapi minda kita; dan setakat itulah sahaja sikap dan pandangan kita terhadap saudara senegara yang berbeza warna kulit, keturunan dan agama berbanding diri kita sendiri.

Itulah gejala sosial yang paling bahaya tetapi yang paling tersembunyi di negara kita. Tanggapan bahawa wujudnya sesebuah kaum, agama, pegangan politik, cara hidup, budaya, amalan yang paling berketuanan itu adalah penyakit yang paling bahaya untuk Malaysia.

Sepatutnya tidak wujud sama sekali, debat mengenai mana-mana kaum, mana-mana agama, mana-mana budaya yang lebih Malaysia berbanding yang lain asalkan seseorang individu itu taat setia kepada Malaysia dan telah memenuhi syarat kewarganegaraan berdasarkan undang-undang dan perlembagaan.

Betapa teruknya pun Najib Tun Razak pun, saya tidak akan cabar KeMalaysiaan beliau.
Betapa saya tidak suka dengan Ridhuan Tee pun, saya tidak akan cabar keMalaysiaan beliau.
Pembunuh, perogol, pemfitnah yang paling keji pun yang memegang Kad Pengenalan biru secara betul dan sah, saya tetap akan berasa benci, malah malu kerana dia adalah saudara senegara saya.

“Saya tidak dijangkiti Sindrom Kami, tapi memang ada sakit buah pinggang. Sakit saya boleh dirawati tapi tidak boleh dipulihkan serta merta… sakit negara kita kira sama dengan saya, agak agak”, katanya lagi.

Mykad saya berwarna biru. Saya kenalkan diri sebagai Orang Perak kerana di bumi Peraklah saya dilahir dan disini juga kubur saya akan didirikan.

Saya anak Malaysia, dan tiada sesiapa pun yang layak menyatakan bahawa saya kurang keMalaysiaan berbanding sesiapa yang lain yang selayak dengan saya.