“Senapang akan membuatkan kita berkuasa; mentega hanya akan membuatkan kita gemuk.”  Hermann Göring, ketua ketenteraan Jerman, 1936.

Anda mungkin pernah terdengar istilah Senapang dan Mentega.[1]Model Senapang lawan Mentega digunakan untuk merujuk kepada hubungan antara perlaburan sesebuah negara dalam pertahanan dan ketenteraan, dan dalam barangan rakyat. Secara mudahnya, ia mempersoalkan sama ada sesebuah negara patut menggunakan sumbernya yang terhad untuk pembelanjaan senjata api, atau membeli mentega. Pembelanjaan ketenteraan adalah isu panas politik bukan sahaja di Malaysia tetapi serata dunia. Setiap tahun, sejumlah USD 45-60 billion penjualan senjata telah dimenterai, dan 75% daripada jumlah ini adalah di negara membangun.

Berkaitan dengan hal ini ialah dividen keamanan negara; yakni, manfaat ekonomi hasil penurunan perbelanjaan pertahanan. Terma ini digunakan buat pertama kalinya selepas Perang Dingin, ketika banyak negara Barat memotong dengan signikannya perbelanjaan ketenteraan mereka. Ia merujuk kepada manfaat jangka panjang setelah perbelanjaan pertahanan disalurkan ke program social atau menurunkan kadar percukaian.

Justeru, banyak mana adalah terlalu banyak? Adakah kita terlebih belanja dalam sektor pertahanan? Atau, kita menjadi lebih selamat selepas membelanjakan RM 71.8 billion dalam pembangunan pertahanan antara 1966 dan 2013?

Ancaman konvensional pertama yang dihadapi oleh Malaysia adalah insiden Konfrontasi, dilancarkan oleh Indonesia pada awal 1960-an. Walaupun pemerintah Indonesia secara terbukanya mengancam untuk menggunakan kuasa ke atas Malaysia dan Singapura, konflik tersebut hanya berakhir dengan beberapa pertempuran di Sabah, Johor dan Singapura.

Ancaman keselamatan kedua adalah Pemberontakan Komunis, suatu perang oleh Parti Komunis Malaya ke atas Angkatan Tentera Malaysia, dari 1948-1989. Tetapi selepas penjanjian damai antara Parti Komunis Malaya dan Pemerintah Malaysia telah ditandatangani pada 1989, Malaysia secara rasminya bebas daripada apa sahaja ancaman keselamatan.

Pada sesetengah waktu, Singapura telah digambarkan ancaman konvensional terdekat. Isu panjang, yang tidak selesai seperti bekalan air, pertikaian kedaultan Pedra Branca, dan pencerobohan ruang udara Malaysia telah menjadi duri dalam hubungan diplomatik Malaysia-Singapura.

BERNAMA melaporkan bahawa, pada 31 Disember 2012, mantan Menteri Luar, Syed Hamid Albar berkata, “ … Singapura ada dua pilihan. Sekiranya mereka menolak untuk berkompromi … (ia akan) pergi ke perang”. Dan dalam mesej Tahun Baru, mantan Perdana Menteri, Mahathir, dalam rujukan halus kepada Kota Singa, juga mengisyaratkan bahawa Malaysia telah terancam dengan strategi pertahanan hadapan Singapura.[2]

Ulasan-ulasan ini hanyalah cuba menjadikan kambing hitam politik dan untuk mengalih sentimen tidak puas hati terhadap UMNO menjadi sentimen perkauman dalam konteks Malaysia masih dalam suasana bersimpati kepada Anwar Ibrahim ketika itu. Lazimnya, perkataan-perkataan ancaman sebegini tidak terjebak kepada konflik berpanjangan. Benar, sejak itu Malaysia tidak lagi mengulas jiran selatan kita sebagai  ancaman terdekat.

Meskipun kita tidak berada di bawah ancaman konvensional terdekat, Kementerian Pertahanan juga telah mengenalpasti ancaman bukan konvesional seperti keganasan, ekstremisme agama dan perkauman dan pertikaian sempadan telah menjadi kepentingan keselamatan utama negara. Mantan Menteri Pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi mengulas pada 27 Julai 2009, “dalam peperangan moden, ancaman keselamatan bukan konvensional akan sentiasa menjadi keutamaan. Untuk Malaysia, memang isunya ialah kepentingan terdekat, di sebalik hakikat yang negara kita tidak membayangkan apa-apa kemungkinan ancaman luaran yang convensional dalam masa terdekat, disebabkan kemajuan dan kemakmuran dengan konsep terikat, ‘Makmurkan Jiran Kalian’.”[3]

Namun, letusan pertempuran Lahad Datu membuktikan Malaysia tidak bersedia untuk menghadapi ancaman yang tulen. Hakikatnya perisikan pertahanan Malaysia telah mengesan aktiviti Penceroboh Sulu sejak enam tahun lalu tetapi tiada tindakan yang diambil untuk meneutralkan keadaan. Alasan yang diberikan adalah Penceroboh Sulu tidak memberikan ancaman serius ketika itu.[4] Kegagalan serius penilaian perisikan telah membawa kepada kehilangan nyawa prajurit dan pegawai polis yang tidak bersalah pada Mac 2013.

Sejak itu pihak berkuasa telah membelanjakan begitu banyak wang dan menjalankan pelbagai usaha untuk memperbaiki keadaan yang buruk tersebut. Sementara itu, pemerintah sedang menyalurkan lebih banyak dana kepada ESSCOM untuk memperketatkan lubang kelemahan, yakni RM 660 juta telah diperuntukkan untuk ESSCOM, sementara RM 17.7 billion untuk pertahanan pada 2015.

Di sebalik usaha-usaha yang telah diambil tersebut, keselamatan di kawasan Timur Sabah masih di bawah keadaan tegang dan perintah berkurung atas laut masih dikenakan di persisiran pantai timur untuk mengelakkan pencerobohan kumpulan penculik dan Penceroboh Sulu. Hakikatnya, rakyat, terutamanya penduduk Sabah masih tidak berasa selamat.

Kegagalan dan ketidakcekapan yang ditunjukkan oleh pemerintah menunjukkan bahawa untuk menjawab persoalan tersebut, ia lebih baik untuk menjawab soalan berikut terlebih dahulu: siapakah musuh kita? Apakah persepsi terhadap ancaman negara kita?

Sememangnya, pihak berkuasa telah gagal untuk berbuat sedemikian pada 2013, jika tidak tindakan balas sudah awal-awal lagi telah diambil untuk mengelak ancaman daripada meruncing. Jika musuh sudah diketahui, maka sumber yang relevan seperti aset dan dana akan dilaburkan di tempat yang betul. Lebih jauh lagi, analisis ancaman perlu diperiksa semula untuk memastikan ia dikemaskini dan berwibawa. Hanya selepas itu kita boleh menjawab berapa yang perlu kita belanjakan dalam pertahanan tanpa membahayakan pelaburan dalam sektor sosioekonomi.

[1] Ia tajuk episode musim keempat ‘The West Wing’.

[2] Portal rasmi Kementerian Luar Singapura, “Statement by Minister for Foreign Affairs, Prof S Jayakumar, in Parliament, 25th Jan 2003”.

[3] Ucaptama oleh Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Malaysia, bersempena perluncuran buku perihal keganasan, 27 Julai 2009.

[4] Lam Choong Wah, Lahad Datu Stand off: Najib should bear the responsibility, 1 March 2013; https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10200111070513165&set=a.1375839389669.53959.1042379039&type=1